
1. Berapakah had umur untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan aqiqah?
J: Berhubung dengan persoalan saudara tentang had umur bagi perlaksanaan aqiqah, sebenarnya ada pendapat yang menyatakan bahawa had umur seseorang bagi melaksanakan aqiqah ialah sehingga anak itu baligh. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam kitabnya Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, bahawa “(Aqiqah) Tidak dikhususkan kepada anak ketika kecil, maka ibu bapa perlu melaksanakan aqiqah anak yang lahir walau selepas ia baligh, kerana tiada tempoh akhir bagi ibadah aqiqah.” Wallahuaklam
2. Saya berumur 30 tahun, saya difahamkan oleh ibu bapa bahawa saya belum diaqiqahkan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya?
J: Saudara, mengikut pendapat Mazhab Imam Hanbali, seseorang itu boleh melaksanakan aqiqah bagi dirinya sendiri sebagai suatu keharusan bukan sebagai suatu tuntutan, ini kerana tuntutan perlaksanaan aqiqah untuk diri saudara adalah di atas tanggungjawab ibu bapa saudara, oleh kerana mereka tidak berkemampuan sehingga saudara dewasa, maka saudara dibolehkan melaksanakannya sendiri berdasarkan pandangan Imam Hanbali tersebut. Wallahuaklam
3. Anak saya berumur 26 tahun, beliau belum kami aqiqahkan disebabkan masalah kewangan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuknya sekarang?
J: Saudari, perlaksanaan aqiqah sebaik-baiknya dilaksanakan semasa anak berumur 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau sebelum baligh, akan tetapi aqiqah tidak dihadkan kepada anak kecil yang baru lahir sahaja, ianya juga dituntut kepada mereka yang sudah dewasa yang belum dilaksanakan aqiqah atas apa-apa sebab, maka ibu bapa hendaklah mengaqiqahkan anak mereka walaupun selepas mereka baligh kerana tiada had masa bagi tuntutan ibadah aqiqah. Wallahuaklam
4. Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
J: Aqiqah adalah salah satu bentuk sedekah. Bersedekah dengan harta orang lain tidak dibenarkan di dalam Islam. Sedangkan orang yang menjaga harta anak yatim hanya pemegang amanah sementara waktu sahaja sehingga anak itu baligh. Maka melaksanakan aqiqah bagi pihak anak yatim dengan menggunakan harta anak yatim adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Wallahuaklam
5. Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?
J: Aqiqah seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka jika sekiranya saudari berniat ingin berbuat demikian dan saudari benar-benar mengetahui bahawa ibu bapa saudari belum diaqiqahkan, maka laksanakan dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima amalan yang saudari ingin laksanakan. Akan tetapi sekiranya ibu bapa ada mewasiatkan demikian maka wajib ditunaikan. Wallahuaklam

