1: Apakah sunnah yang boleh dilakukan hari penyembelihan aqiqah?
J: Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat, maka beberapa sunnah boleh dilakukan pada hari penyembelihan kambing aqiqah tersebut, antaranya;
- Mencukur rambut bayi tersebut pada hari ketujuh kelahirannya.
- Memberikan nama pada bayi tersebut.
- Bersedekah dengan emas atau perak seberat rambutnya yang telah dicukur.
- Mengkhatan bayi tersebut.
Wallahuaklam
2: Adakah sunat mengkhatankan anak pada hari aqiqah?
J: Memang benar, mengkhatankan anak pada hari ketujuh dan hari penyembelihan aqiqahnya adalah sunat. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Aisyah R.A. “Bahawasanya Nabi S.A.W mengkhatankan Hassan dan Hussain pada hari ketujuh dari hari kelahiran mereka.” Wallahuaklam
3: Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Korban?
J: Pada Hari Raya Korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut, jadi apabila bertemu Hari Raya Korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal, saudara boleh menggabungkan niat perlaksanaan aqiqah anak dengan niat korban, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan hari raya maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahuaklam
Banyak Hikmah Aqiqah
Dalam setiap anjuran Islam, tentulah terdapat hikmah di sebaliknya. Selain menghidupkan lagi sunnah Rasulullah SAW, aqiqah menzahirkan rasa kesyukuran atas kelahiran bayi, mengukuhkan lagi silaturrahim sesama masyarakat di samping melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat.
Semoga perkongsian ini memberi kita lebih pencerahan agar kita dapat menjalankan ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan keberkatan Allah dalam memulakan hidup bersama bayi yang baru lahir.